belanjawan 2022

PUBLISH BY BERITA HARIAN


BELANJAWAN 2022 PEMANGKIN EKONOMI NEGARA?

KUALA LUMPUR: Gabungan pelaksanaan usaha di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), Belanjawan 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) memberi lembaran baharu bagi membolehkan negara pulih dengan jayanya daripada impak pandemik, seterusnya menjadi lebih kukuh menjelang 2022 dan selanjutnya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata PPN meletakkan negara dalam landasan kukuh untuk pulih, manakala Belanjawan 2022 yang bakal dibentangkan akhir bulan ini akan meneruskan landasan pemulihan.

Beliau berkata, negara sedang menuju menghampiri kadar 100 peratus penduduk dewasa divaksin sepenuhnya menjelang hujung bulan ini dan dalam tempoh terdekat, PPN akan dikemaskini untuk mempersiapkan Malaysia kepada kehidupan normal selanjutnya dengan COVID-19 menjadi endemik.

Belanjawan 2022 pula, jelasnya akan meneruskan landasan pemulihan negara ini dengan meletakkan asas pembaharuan kerajaan yang meluas dan berjangka panjang.

"Secara bersama, PPN dan Belanjawan 2022 akan membentuk blok bagi usaha pemulihan dan pembaharuan jangka panjang Malaysia melalui RMK-12," katanya ketika berucap di majlis penutup Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2021 secara maya hari ini.

Tengku Zafrul, yang juga anggota pengarah Khazanah Nasional Bhd berkata, usaha pemulihan mesti dilaksanakan bukan hanya menangani COVID-19, tetapi juga untuk muncul dengan lebih berdaya tahan pasca pandemik.

Beliau berkata, bagi mencapai tujuan jangka pendek mencegah kemelesetan ekonomi, negara juga mesti mengambil kesempatan untuk menangani masalah struktur dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Justeru, tegasnya infrastruktur digital yang betul juga adalah sangat penting terutama dalam mengurangkan ketidakseimbangan antara bandar dan luar bandar.

Mengenai pelaksanaan RMK-12, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan sangat komited untuk menyediakan perbelanjaan pembangunan negara seperti yang ditetapkan di bawah pelan lima tahun itu.

Beliau berkata, secara keseluruhan rancangan lima tahun itu menyasarkan pertumbuhan antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun, menjadikan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita RM57,882 atau AS$14,842 pada 2025, dengan pekerjaan penuh.

Katanya, lima tahun akan datang juga akan menyaksikan peralihan penting kepada amalan ekonomi yang lebih lestari.

"Dalam RMK-12, satu matlamat utama adalah mencapai 45 peratus pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, berbanding paras intensiti 2005.

"Pemacu perubahan seperti melaksanakan ekonomi kitaran dan mempercepat penggunaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu, akan terbukti kritikal," katanya.

Dari segi perdagangan, Tengku Zafrul berkata pelaksanaan Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN 2025 dan perjanjian perdagangan bebas baharu termasuk Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) diharapkan dapat meningkatkan pertumbuhan perdagangan.

Beliau berkata, perjanjian perdagangan lain yang perlu diratifikasi seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) juga akan lebih menguntungkan industri domestik.